Sunday, November 27, 2011

Hadis Palsu : Membaca Doa Awal dan Akhir Tahun

Dalam buku kecil Majmuk Syarif yg banyak tersebar dikalangan masyarakat, disebutkan tentang kelebihan membaca doa di akhir dan awal tahun mengikut kiraan Hijrah. Malang sekali, amalan dan kelebihan yang dinyatakan tidak bersumberkan hadis sahih dan ia adalah palsu.

Dinyatakan dalam buku tersebut :

“inilah doa akhir tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali pada akhir waktu asar 29 atau 30 haribulan Zulhijjah. Siapa membaca doa ini pada waktu tersebut, syaitan berkata “susah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini kerana dibinasakan dengan satu akibat membaca doa-doa ini, maka Allah mengampunkan semua dosanya”


Kemudian dinyatakan dalam buku tersebut teks doa khusus yang perlu di baca pada akhir tahun

Sementara kelebihan doa awal tahun pula dinyatakan :

“inilah doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali selepas sembahyang Maghrib pada malam satu haribulan Muharam. Siapa membacanya, sesungguhnya syaitan berkata : “ia sudah amanlah anak Adam ini daripada aku barang yang tinggal daripada umumnya pada ini tahun kerana sesungguhnya Allah sudah mewakilkan dua malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan, inilah doanya”

Dinyatakan juga teks doa khusus yang perlu dibaca pada awal tahun

Ulasan Sarjana

Jamaludin al-Qasimi di dalam Islah al-Masajid berkata :
“Doa ini adalah doa yang direka dan bukan berasal darioada Nabi Muhammad. Ia juga bukan berasal daripada para sahabt, tabii’n dan tidak direkodkan dalam buku-buku musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam dalam buku maudhuat (buku yang mengumpulkan hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan “Berkatalah syaitan berkata “susah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini kerana dibinasakan dengan satu akibat membaca doa-doa ini” merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya”

Sekilas Pandang

Berdoa adalah ibadah yang dituntut dalam Islam. Apabila doa termasuk dalam perkara ibadah, ia mestilah dilakukan dengan mengikut syarat-syarat penerimaan  ibadah yang ditetapkan oleh para sarjana. Antaranya, dua syarat utama yang mesti dipatuhi :

Pertama : ibadat tersebut dilakukan dengan penuh ikhlas hanya kerana Allah.
Kedua : ibadat tersebut mesti berpandukan syariat dan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

Sekiranya salah satu daripada dua syarat asa ini tidak dipenuhi, apa sahaja ibadat tidak diterima oleh Allah.
Menyentuh amalan membaca doa pada akhir dan awal tahun, sacara umumnya kita yakin mereka yang membaca doa tersebut membacanya dengan ikhlas demi mendapatkan ganjaran dan kebaikan daripada Allah.

Namun, ikhlas sahaja tidak mencukupi kerana syarat kedua mesti diteliti. Adakah amalan membaca doa ini dilakukan dalam majlis khas, pernah dilakukan oleh Rasulullah atau para sahabat beliau? Apakah doa-doa dengan segala kelebihan dijanjikan itu pernah disebut oleh beliau?

Sesudah dikaji oleh para sarjana, ternyata doa tersebut dan segala kelebihan yang dinyatakan adalah rekaan manusia semata-mata. Rasulullah tidak pernah menjanjikan kelebihan tersebut. Bagaimana manusia lain boleh memberi jaminan siapa yang melakukan amalan tersebut akan mendapat kelebihan tersebut?

Adakah pahala dan kelebihan-kelebihan tertentu itu mampu diberikan oleh manusia? Sedangkan Rasulullah sendiri tidak mampu untuk memberi pahala kepada manusia lain.

Segala ganjaran pahala dan kelebihan-kelebihan tertentu yang dijanjikan  oleh Rasulullah adalah berdasarkan wahyu yang disampaikan kepadanya sahaja. Apakah ada manusia lain selepas Rasulullah turut mendapat wahyu sehingga melayakkan dirinya menjanjikan pahala dan ganjaran tertentu?

Oleh sebab itu, semua amalan dan ganjaran tertentu terhadap suatu amalan mesti berdasarkan dalil daripada Al-Quran dan hadis sahaja. Ini kerana, hanya Allah layak menjanjikan dan berhak memberikan pahala serta ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan ketaatan.

Dikalangan manusia pula, hanya Rasulullah yang berhak untuk menjanjikan sebarang kelebihan terhadap amalan tertentu, kerana beliau sahaja yang diberikan wahyu oleh Allah. Adapun kita manusia biasa ini tidak berhal mencipta sebarang bentuk ibadah dan menjanjikan ganjaran melainkan kita hanya disuruh untuk menyampaikan apayang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya  berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

Jika kita ingin berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan hidup, berdoalah pada bila-bila masa sahaja tanpa mengkhususkan waktu dan diadakan dalam majlis khas.

Cuma jika kita ingin memilih waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa, ia tidak menjadi kesalahan kerana waktu mustajab doa itu adalah berdasarkan dalil-dalil yang benar.

Jangan pula ada yang tersalah faham bahawa tidak boleh atau salah untuk berdoa demi kebaikan dan kesejanteraan hidup. Berdoa dan pohonlah segala hajat kita, kerana Dia adalah Tuhan Yang Maha Mendengar akan permintaan hamba-hamba-Nya.

Apa yang penting, pastikan doa dan ibadah kita dilakukan dengan penuh ikhlas dan menepati syariat dan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

sumber :
40 hadis Palsu Popular,
Abdul Razak Muthalib,
PTS Islamika Snd Bhd.










______________________________________________________________________________

INFORMASI

[1] Untuk membaca hukum hakam selanjutnya, anda boleh klik link di bawah:

http://www.facebook.com/1manhajsalaf

[2] Anda semua boleh dapatkan kuliah Ustaz Fathul Bari berkenaan sunnah dan isu semasa berkaitan. Klik link di bawah:

http://www.facebook.com/ufbchannel?ref=ts

LAMAN WEB RASMI KAMI: www.1manhajsalaf.blogspot.com

http://www.scribd.com/doc/58361060/JAWI-mengiktiraf-Manhaj-Salaf

0 comments:

Post a Comment