Thursday, January 6, 2011

Cerita melaknat Ali Di Atas Mimbar Bani Umayyah

Cerita ini sebenarnya langsung tidak bertepatan dengan peristiwa yang sebenarnya dan tidak sesuai langsung dengan tabiat dua orang yang bermusuhan. Jika kita rujuk buku-buku sejarah yang dikarang semasa pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah yang menceritakan tentang perjalanan pemerintahan Bani Umayyah tersebut, kita tidak menemui cerita seumpama ini sama sekali, sebaliknya kita hanya dapati cerita seumpama ini di dalam buku-buku sejarah kebelakangan yang ditulis di zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbas bertujuan memburukkan nama baik pemerintahan kerajaan Bani Umayyah pada pandangan umum umat Islam.

Pengarang-pengarang buku sejarah Kerajaan Bani Abbas menggambarkan kepada golongan Alawiyin, yang penindasan yang dilakukan oleh pemerintahan Bani Abbas langsung tidak mencapai tahap yang pernah dilakukan kerajaan Bani Umayyah sebelum itu.

Begitulah ahli-ahli sejarah di zaman kerajaan Bani Abbas menulis tentang kedudukan kerajaan Bani Umayyah. Perkara ini tercatat di dalam buku karangan al-Tabari dan lain-lain ahli sejarah yang hidup di zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbas.

Apabila ahli-ahli sejarah selepas mereka muncul, mereka memindahkan sahaja cerita tersebut tanpa sedikitpun membuat penelitian tentang sejauh manakah kebenaran cerita itu, sehinggalah sampai ke zaman yang sedang kita huni sekarang ini. Cerita ini kemudiannya dianalisa dan diberi komentar oleh para orientalis barat dan murid-murid mereka dari kalangan anak-anak orang Islam. Mereka menggambarkan permusuhan yang berlaku di kalangan sahabat sama tarafnya dengan perselisihan yang berlaku di zaman ini, berdasarkan kepada undang-undang matlamat menghalalkan cara.

Mereka telah membuat komentar terhadap orang-prang Islam terdahulu sama dengan ulasan mereka terhadap orang-orang Islam yang hidup di zaman sekarang. Mereka jahil tentang suasana yang dihuni oleh umat Islam di zaman dahulu dan mereka juga lupa pengaruh agama yang masih wujud dalam perselisihan yang berlaku di kalangan sahabat itu. Mereka juga tidak pernah peduli dengan hukuman-hukuman yang mereka jatuhkan kepada sahabat.

Ini sebenarnya kerana mereka tidak mengkaji peristiwa yang berlaku dengan teliti dan menghalusi. Mereka juga tidak merujuk kepada laporan yang dilaporkan oleh ahli-ahli sejarah dari sudut yang lain. Adalah diakui berlaku perselisihan di kalangan para sahabat, namun perselisihan mereka tidak pernah sampai kepada tahap permusuhan yang disifatkan oleh para orientalis itu iaitu kemuncak kezaliman dan permusuhan.

Sebenarnya tidak pernah ada satu laporan yang benar-benar sahih yang menceritakan tentang Muawiyah melaknat Ali atau pernah melaknatnya satu kali apa lagi untuk memburuk-burukkannya, di atas mimbar masjid jauh sekali. [Rujuk Tahzir al-Abqatiyy dari syarahan Syeikhg Khudri Husain, jil. 2, hlm. 198]

Al-Tabari melaporkan Bisyr bin Abi Arta'ah pernah mencaci Ali di sisi Muawiyah- pada masa itu Zaid Bin Umar bin al-Khattab sedang duduk di situ- lantas Zaid menghayunkan rotannya ke atas belakang Bisyr dan menyebabkan ia mengalami luka-luka akibat pukulan rotan ini. Ujar Muawiyah kepada Zaid: "Begitu sekali anda berani bertindak ke atas seorang tua berbangsa Quraisy yang menjadi ketuak kepada masyarakat Syam dan tanpa segan silu anda memukulkannya?".

Seterusnya Muawiyah berpaling kepada Bisyr seraya berkata: "Begitu berani anda mencaci Ali dikhayalak ramai?. Tidakkah anda ketahui ALi adalah seorang yang sabar menghadapi karenah masyarakat?. Setelah itu Muawiyah menyuruh kedua orang itu berbaik-baik semula." [al-Kamil, jil. 3, hlm. 362. Al-Tabari, jil. 5, hlm. 335]

Begitulah sikap Muawiyah. Beliau tidak rela kalau ada orang mencai Ali r.a.

Kita suka bertanya, kenapa Bani Umayyah mencaci Ali r.a. Bukankah mereka telah mencapai kemenangan (memperolehih jawatan khalifah)?.

Apa yang patut dikatakan kepada ijmak yang berlaku di kalangan orang-orang Islam yang memutuskan tidak harus melaknat orang Islam, malah tidak harus melaknat batang tubuh tertentu orang yang bukan Islam.

Adakah perkara ini tidak sampai ke pengetahuan Muawiyah dan orang-orang yang datang selepasnya dari kalangan mereka yang meneraju pemerintahan kerajaan Bani Umayyah?.

Bagaimana kita hendak menafsirkan kata-kata pengarang buku al-Aqd al-Farid yang merupakan seorang yang beraliran Syiah- yang pernah menyatakan Muawiyah pernah memegang tangan al-Hasan bin Ali dalam majlisnya, kemudian berkata orang ramai yang hadir di dalam majlisnya itu: "Ini adalah manusia yang berasal dari bapa, ibu, datuk lelaki dan nenek perempuan yang paling mulia?. Jawab mereka semua: Amir al-Mukminin lebih mengetahui tentang kedudukannya. Lantas Muawiyah memegang tangan al-Hasan, seraya berkata: Lelaki ini bapanya ialah Ali bin Abil Talib dan ibunya Fatimah ra. Datuknya ialah Rasulullah saw, manakala nenek perempuannya ialah Khadijah r.a." [al-Aqd al-Farid, jil. 3, hlm. 33]

Sepatutnya yang biasa berlaku ialah perasaan dendam menghantui jiwa pihak yang kalah. Pihak yang kalah ini akan menunggu masa untuk membalas dendam atau menimbulkan suasana tegang dan tidak stabil ke atas orang-orang yang menang, yang merampas hak mereka.

Sehubungan dengan itu, anggapan yang menayatakan pihak yang menang mencaci pihak yang kalah di atas mimbar masjid, pada perkiraan penulis tidak mungkin berlaku, sebaliknya ia lebih berbentuk satu isu yang sengaja direka terhadap kerajaan Bani Umayyah, di zaman Bani Abbas dengan tujuan memburukkan cara layanan kerajaan Bani Umayyah terhadap Ali dan anak-anaknya, supaya golongan Alwiyun mengetahui hanya golongan Bani Abbas sahaja yang masih memulia dan memelihara hubungan kerabat dengan mereka, kerana kerajaan Bani Abbas tidak melakukan penindasan ke atas golongan Alawiyun, sebagaimana yang kononnya dilakukan oleh kerajaan Bani Umaiyyah terhadap nenek moyang golongan Alawiyun terdahulu.

0 comments:

Post a Comment