Sunday, June 26, 2011

Mengenali Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin.


Beliau adalah seorang alim, faqih, pentafsir, wara' dan zuhud. Berketurunan Bani Tamim, dilahirkan pada 27 Ramadhan tahun 1347 Hijrah di bumi Unaizah, al-Qasim Arab Saudi. Beliau mula menghafal al-Quran dengan datuknya dari sebelah ibu, kemudian belajar menulis dan membaca sebelum memasuki madrasah gurunya bernama Ali bin Abdullah. Menamatkan hafazan al-Quran dengan gurunya (Ali bin Abdullah) sebelum berumur 14 tahun. Atas saranan bapanya beliau kemudian menuntut ilmu dengan al-Allamah Syeikh Abdul Rahman bin Nasir as-Sa'adi yang mengajar ilmu-ilmu syara' dan bahasa arab di masjid Jami' Unaizah. Di sana beliau mempelajari ilmu Tafsir, Hadis, Sirah, Tauhid, Fiqh, Usul, Faraid, Nahu dan menghafal matan-matan ilmu dalam bidang-bidang ini. Antara guru beliau juga ialah Syeikh Abdul Rahman bin Ali (Qodi di Unaizah), Syeikh Abdul Razak Afifi (anggota majlis fatwa Arab Saudi), Syeikh Muhamad al-Amin as-Syanqiti, Syeikh Muhaddis Abdul Rahman al-Ifriqi, dan Syeikh al-Allamah Abdul Aziz bin Bazz (Mufti besar kerajaan Arab Saudi).



Kemudian beliau meneruskan pengajian di kuliah syariah cawangan university al-Imam Muhamad bin Saud sehingga mendapat ijazah. Beliau mula mengajar pada tahun 1370 Hijrah di masjid Jami' Unaizah. Mula menjadi pendidik secara rasmi di ma'ahad ilmi Unaizah tahun 1374 Hijrah selepas beliau menamatkan pengajian di Ma'had Ilmi di Riyad. Pada tahun 1376 Hijrah guru beliau yang utama (Syeikh Abdul Rahman as-Sa'adi ) telah meninggal dunia. Lantas beliau menggantikan urusan mengajar dan menjadi imam di masjid Jami' Unaizah yang diasaskan oleh gurunya itu pada tahun 1359 Hijrah.

Beliau berterusan mengajar di Ma'had Ilmi dari tahun 1374-1398 Hijrah sehingga beliau berpindah menjadi pensyarah di Kuliah Syariah dan Usuluddin di Qasim sehingga beliau wafat. Mula mengajar di Masjid Nabawi pada tahun 1402H ketika musim Haji, Ramadhan dan ketika cuti musim panas sehingglah beliau wafat. Beliau memiliki uslub tersendiri dalam mengajar sehingga membawa kepada kecemerlangan murid-muridnya. Berbincang dengan pelajar-pelajarnya dan menerima soalan ketika beliau sedang mengajar.

Kesan peninggalan ilmunya;
Kesan ini tersohor selepas beliau berkecimpung dalam bidang perguruan selepas 50 tahun mengajar, mendidik, dan menyebarkan ilmu dan dakwah. Memiliki azam yang tinggi dalam penulisan dan karangan. Sebab itu beliau memiliki berpuluh-puluh karangan yang pelbagai. Pengajian, ceramah dan syarah-syarah beliau telah di rekodkan melebihi ribuan jam oleh anak-anak muridnya dalam pelbagai bidang ilmu syarak. Sehinggalah ditubuhkan satu pertubuhan atas nama beliau bagi menjaga peninggalan ilmu beliau yang luas itu dengan memberi khidmat percetakan buku-buku, kaset,laman web internet dan lain-lain.

Tugas dan tanggungjawab lain yang dipikul Syeikh;
1)Anggota majlis ulama besar Arab Saudi dari tahun 1407 Hijrah sehingga wafat.
2)Anggota majlis al-Ilmi di University al-Imam Muhamad bin Saud selama 2 tahun menjadi pensyarah 1398-1400 Hijrah.
3)Anggota di majlis Kuliah Syariah dan Usuluddin cawangan Universiti al-Imam Muhamad bin Saud al-Islamiyah dan ketua dekan bahagian akidah.
4)Anggota lajnah Tau'iyyah pada musim haji dari tahun 1392 hingga beliau wafat, seperti memberi kuliah, fatwa dan penerangan tentang masalah haji dan hukum-hukum syarak.
5)Menjadi pengerusi Pertubuhan Tahfiz al-Quran al-Khairiyyah di Unaizah bermula dari tahun diasaskan 1405 Hijrah sehingga beliau wafat.
6) Anggota majlis ulama besar Saudi yang di beri mandat untuk menjawab hukum-hukum syarak secara langsung di Radio Iza'ah al-Quran di bawah rancangan (Nurun Ala ad-Darb).
7)Menyertai pelbagai Muktamar Ilmi yang diadakan di dalam Arab Saudi.

Beliau adalah seorang ulama yang dikurniakan Allah pengetahuan yang luas, kebijaksanaaan dalam mengistimbat hukum,dan kecekapan dalam bidang bahasa arab, I'rab dan balaghah. Selain beliau disayangi oleh penduduk di dalam dan di luar Arab Saudi beliau telah dikurniakan anugerah khas Malik al-Faisol International kerana khidmat beliau terhadap Islam pada tahun 1414 Hijrah. Pemilihan itu berdasarkan kepada factor berikut;

1)Berakhlak mulia yang didahului dengan sifat wara', berlapang dada, berkata yang benar, memberi nasihat kepada orang-orang tertentu dan awam.

2)Ilmunya dimanfaatkan oleh ramai orang seperti kuliah-kuliah pengajian beliau, fatwa dan penulisannya.

3)Menyampaikan ceramah-ceramah agama umum yang bermanfaat di pelbagai tempat di Arab Saudi.

4)Penyertaan beliau dalam Muktamar Islamiyah yang banyak.

5)Memiliki uslub yang terpilih di dalam berdakwah dengan cara penuh hikmah dan peringatan yang baik, dan beliau menjadi model dalam menjejaki langkah ulama salaf dalam pemikiran dan akhlak.

Beliau wafat di Jedah sebelum maghrib pada hari Rabu 15 Syawal tahun 1421 Hijrah. Jenazah beliau di solatkan di Masjid al-Haram selepas solat asar pada hari Khamis dan di kebumikan di Mekah al-Mukarramah. Pada hari Jumaatnya pula didirikan solat ghaib untuk beliau di seluruh pelusuk Arab Saudi, semoga Allah merahmati belau dengan seluas-luas rahmatNYA dan menempatkan beliau di Syurga Firdaus. Jutaan terima kasih di atas khidmat beliau yang amat besar dalam bidang ilmu islam. Wallahu a'lam.
Rujukan;

Muassasah Ibnu Uthaimin al-Khairiyyah.
 http://yeopmadiny.blogspot.com/2008/09/mengenali-syeikh-muhammad-bin-soleh-al.html

0 comments:

Post a Comment