Wednesday, July 14, 2010

Peristiwa kononnya Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi meruntuhkan Kaabah (ms. 46-47)

Pertama sekali, perlu dijelaskan bahawa tujuan menjawab penulisan buku Abdul Latip Talib ini bukanlah untuk menghina, merendahkan atau memburukkannya. Sebaliknya, untuk menjelaskan atau menjawab beberapa fakta yang tidak benar tentang sejarah yang terdapat di dalam buku tersebut. Kami yakin, bahawa mungkin Abdul Latip Talib terlepas pandang atau kurang cermat dalam mengambil sumber rujukan yang tidak disemak dengan teliti. Apapun, kami mendoakan supaya Abdul Latip Talib dapat terus menulis buku-buku yang memberi manfaat kepada dunia Islam, khususnya kepada remaja.

Bagi mereka yang mempunyai buku karangan Abdul Latip Talib yang bertajuk "Imam Hanafi (Pendebat Kebenaran)". Anda diminta untuk membuka halaman 46-47, iaitu peristiwa kononnya Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqfi meruntuhkan Kaabah. Hal ini telah lama dijawab oleh Professor Doktor Ibrahim Ali Sya'wat. Selamat membaca.

Antara tuduhan yang sangat berat yang dikenakan ke atas beliau ialah tuduhan meruntuhkan kaabah ketika mengepung Abdullah bin al-Zubir.
Walaupun begitu, terdapat segolongan Ulama' yang mempertahankan tindakan al-hajjaj itu.Menurut mereka, al-Hajjaj tidak melakukan sebarang jenayah kerana membedil Kaabah dengan Manjenik, kerana beliau berbuat demikian sebagai memenuhi perintah Syarak. Mereka mengatakan antara perkara yang merbahaya yang menular ke dalam agama Islam ialah sikap keterlaluan dalam mensucikan Kaabah dan kehormatan Baitullahil Haram. Kaabah adalah kiblat seluruh orang-orang Islam di dunia ini. Ia menjadi tempat mengadap orang-orang Islam di dalam solat, doa dan arah baringan jenazah di dalam kubur, sehingga mereka bertemu dengan tuhan mereka kelak. Orang-orang Islam memberikan tumpuan kepada Kaabah dengan sepenuh hati mereka.

Sehubungan dengan itu, setiap perkara yang menyentuh tentang Kaabah - di sisi orang Islam - adalah satu perkara yang bahaya akan ditangani oleh mereka dengan hati-hati sekali-kali. Abdullah bin al-Zubir, seorang sahabat besar telah mengadakan tambahan terhadap keluasan Kaabah, menyalahi apa yang terdapat di zaman Rasulullah SAW, berdasarkan kepada sebuah Hadis yang diriwayatkan dari Ummu al-Mukminin Sayyidah A'isyah RA, ibu saudara kepada Abdullah bin al-Zubir sendiri iaitu: "Kalau tidaklah kerana masyarakat anda semua baru sahaja meninggalkan zaman kufur atau jahiliyah mereka, sudah tentu saya akan bina bangunan Kaabah sebagaimana asal dengan memasukkan kawasan Hijr Ismail. Saya akan membina sebuah pintu di sebelah timur dan sebuah pintu lagi di sebelah barat. Sesungguhnya masyarakat anda kekurangan perbelanjaan. Kerana itu semasa mereka membinanya dahulu, mereka tidak memasukkan Hijr Ismail dam mereka tidak membinanya pula berasaskan tapak yang dibina oleh Ibrahim, Mereka meninggikan pintunya supaya mereka boleh membenarkan sesiapa sahaja yang ingin memasukinya dan melarang sesiapa sahaja dari memasukinya."

Oleh kerana setiap tindakan yang ada hubungannya dengan Kaabah mendapat perhatian dari khalifah-khalifah Islam, para cendekiawan dan ahli-ahli ilmu yang ada di dalam negara Islam, Khalifah Abd Malik bin Marwan - antara orang yang banyak meriwayat Hadis - yang berpendapat Hadis ini tidak sahih di sisi beliau, telah memerintahkan bahagian tambahan yang dibina oleh Abdullah bin al-Zubir diruntuhkan semula supaya Kaabah kekal dalam bentuknya sebagaimana di zaman Rasulullah SAW.

Al-Hajjaj di atas sifatnya sebagai gabenor al-Hijaz bagi pihak Abd al-Malik, telah bermesyuarat dengan khalifah tentang urusan yang berkaitan dengan meruntuhkan bahagian tambahan Kaabah. Khalifah Abd Malik bin Marwan - ketika itu menjadi khalifah yang bertanggungjawab di hadapan Allah dan manusia tentang setiap perubahan dan pengubahan yang berlaku berkaitan dengan kiblat orang-orang Islam - telah menulis kepada al-Hajjaj: Antara lain beliau menyatakan: "Tutuplah pintu Kaabah sebelah barat dan tinggikan pintunya yang disebelah timur, seterusnya runtuhkanlah bahagian tambahan yang termasuk di dalamnya Hijr Ismail (yang dibina oleh Abdullah bin al-Zubir) dan binalah lantai Kaabah dengan batu-batu dari bahagian yang diruntuhkan itu." al-Hajjaj telah melaksanakan arahan tersebut. Beliau telah meruntuhkan bahagian yang ditambah oleh Abdullah bin al-Zubir di sebelah Hijr Ismail yang luasnya 6 hasta.

Sumber:

1) Kesalahan2 terhadap fakta Sejarah yang perlu diperbetulkan semula,
Professor Doktor Ibrahim Ali Sya'wat.

2) al-Bidayah Wa al-Nihayah, Ibn Kathir, jil 9, hlm 2

3) akhbar Makkah, al-Azraqi, jil 1, hlm 108
____________________________________________

*Tambahan dari http://hajj.al-islam.com/display.asp?lang=mal&sub=8&fname=hmacca/k17

Binaan Abdullah Bin Az-Zubair:

1. Kebakaran Kaabah pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah merupakan kebakaran yang agak besar pernah berlaku. Abdullah bin Az-Zubair telah membiarkan keadaan Kaabah yang terbakar itu sehingga tiba musim Haji dimana ramai yang berkunjung untuk mengerjakan Haji. Apabila mereka semakin ramai, beliau berkata: Wahai umat Islam! Tunjukkanlah kepadaku cara memperbaiki Kaabah, samada meruntuh, membinanya semula ataupun memperbaiki kerosakannya sahaja. Ibnu Abbas berkata: Pada pendapatku: Kamu perbaiki kerosakannya sahaja. Biarkan binaan asal Baitullah dan batu-batu binaan asalnya kerana di situlah orang ramai memeluk Islam serta Rasulullah s.a.w diutuskan. Ibnu Az-Zubair berkata: Sekiranya rumah salah seorang di antara kamu terbakar, tentu dia tidak redha sebelum memperbaharuinya. Bagaimana pula dengan rumah Tuhan kamu? Sesungguhnya aku akan memohon kebaikan (beristikharah) daripada Tuhanku sebanyak tiga kali kemudian barulah melakukan urusanku.

2. Selepas tiga kali beristikharah, mereka telah sepakat untuk meruntuhkannya. Ketika hendak memulakannya, orang ramai merasa bimbang kalau-kalau orang pertama yang memulakan kerja tersebut akan di timpa bala dari langit. Kemudian seorang lelaki naik ke atas bumbung Kaabah lalu mencampakkan batu-bata runtuhan. Apabila orang ramai melihat lelaki tersebut tidak di timpa bala, mereka terus ikut melakukannya. Mereka membuang kesemua batu-bata sehingga menyamai tanah. Ibnu Az-Zubair membina beberapa batang tiang dan membina dinding di sekeliling tiang tersebut sehingga siap terdiri sebuah binaan. Kemudian mereka melakukan tawaf mengelilingi binaan Kaabah tersebut. Tiada seorangpun yang ketinggalan dari melakukannya.

3. Ibnu Az-Zubair berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Saidatina Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Seandainya kaummu (orang ramai) telah lama meninggalkan masa jahiliah (dengan kekufuran) dan seandainya aku mempunyai harta untuk membiayai penambahan bangunan Baitullah tentu aku akan memasukkan kawasan Hijir Ismail itu selaras dengan Kaabah sebanyak lima hasta, kemudian aku akan membuat pintu masuk dan pintu keluar daripadanya". Ibnu Az-Zubair berkata: Pada hari ini, aku telah mendapat kos pembinaannya dan tidak perlu bimbang keadaan orang ramai.

4. Setelah Ibnu Az-Zubair meruntuhkan Kaabah dan meratakannya sehingga menyamai bumi, beliau mencari asas Nabi Ibrahim a.s. Beliau menemui tapak asas tersebut berada lebih sedikit daripada enam hasta ke arah Hijir. Batu asas tersebut seolah-olah leher unta iaitu batu yang berwarna merah yang bertaut antara satu sama lain seperti genggaman jari-jari.

5. Ketika sedang menggali asas binaan Nabi Ibrahim a.s, beliau menemui sebuah kubur lalu berkata: Ini adalah kubur ibu Nabi Ismail a.s (Siti Hajar). Seramai lima puluh orang lelaki berserta dengan para pembesar mereka menyaksikan peristiwa tersebut.

6. Abdullah bin Muti' Al-Adawi telah memasukkan besi penuas yang berada di tangannya pada salah satu penjuru Kaabah lalu setiap penjuru Kaabah bergerak sedikit demi sedikit. Tanpa diduga tepi Kaabah telah runtuh menyebabkan seluruh Kota Mekah bergegar dengan kuat. Gegaran itu telah menakutkan mereka. Ibnu Az-Zubir berkata: Saksikanlah! Kemudian beliau membina binaan tersebut di atas asas Nabi Ibrahim a.s. Beliau juga membina dua buah pintu dari atas tanah, kedua-dua pintu tersebut berhadapan antara satu sama lain.

7. Ibnu Az-Zubair menambah ketinggian Kaabah sembilan hasta, menjadikan ketinggiannya setinggi dua puluh tujuh hasta.

8. Beliau menjadikan lebar dinding Kaabah dua hasta.

9. Beliau membina tiga batang tiang di dalam Kaabah menggantikan enam batang tiang yang dibina oleh orang-orang Quraisy.
10. Beliau mengambil batu marmar dari San'aa dan meletakkannya di bahagian atas untuk menguatkan pancaran cahaya.

11. Beliau membina pintunya yang terdiri dari dua daun pintu manakala panjang keduanya adalah sebelas hasta.

12. Beliau juga membina tangga kayu untuk naik ke atas Kaabah.

13. Setelah Ibnu Az-Zubair selesai membinanya, beliau menyapu bahagian dalam dan luar Kaabah dengan wangi-wangian, za'faran dan memasang kelambu.

14. Ibnu Az-Zubair mengeluarkan seratus ekor unta atau lembu lalu tawaf di sekeliling Kaabah dan melambai di setiap penjurunya.
____________________________________________

*Tambahan dari http://hajj.al-islam.com/display.asp?lang=mal&sub=8&fname=hmacca/k18

Binaan Al-Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi:

1. Apabila Al-Hajjaj bin Yusuf memasuki Kota Mekah selepas pembunuhan Abdullah bin Az-Zubair, beliau terus menulis surat kepada Abdul Malik bin Marwan menyatakan setiap perkara yang telah Ibnu Az-Zubair lakukan. Abdul Malik bin Marwan menjawab surat tersebut dengan katanya: Runtuhkanlah apa yang telah ditambah pada Hijir dan kembalikan ke asalnya serta tutuplah pintu yang dibuka di sebelah barat, kemudian biarkan bahagian-bahagian yang lain begitu sahaja.

2. Al-Hajjaj telah merobohkan dinding di Hijir dan membina kembali di tempat asalnya yang pertama kemudian memasukkan ruang ini ke dalam Hijir.

3. Membuang tangga kayu yang diletakkan oleh Ibnu Az-Zubair di dalam Kaabah.

4. Mengurangkan ketinggian pintu Kaabah sebanyak lima hasta.

5. Menutup pintu Kaabah di sebelah barat dan mengekalkan pintu yang lama pada kedudukan asalnya.



1 comments:

Anonymous said...

syukran atas info.
sangat bmanfaat bagi insan yg dahagakan ilmu...

Post a Comment